Saturday, November 13, 2010
Syamsul Yusof: Cubalah Belajar Cakap Berlapik!
Teks : zyzamani
Foto: Mazlan Fotografi
KUALA LUMPUR, 2 NOV 2010: Tidak berkecil hati mahu pun berdendam, sebaliknya Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), Syamsul Yusof menerima dengan hati terbuka setiap kritikan serta pertikaian segelintir pihak terhadap kemenangannya.
Namun sama seperti insan lain, dia mengharapkan agar pihak yang terbabit dapat menerima dengan hati terbuka keputusan juri yang mengangkat dirinya sebagai Pengarah Filem Terbaik FFM23.
"Buat apa nak gaduh. Ikutkan hati, mati. Saya harap mereka di luar sana akan dapat terima hakikat mengenai kemenangan ini. Cubalah belajar untuk cakap berlapik dan terimalah hakikat bahawa kali ini bukan rezeki mereka untuk menang tetapi rezeki saya.
"Selagi ada perasaan yang kita ini hanyalah yang terbaik orang lain tak bagus, sampai bila pun industri perfileman kita ini tidak akan maju," katanya sewaktu ditemui di majlis kenduri kesyukuran di kediaman kedua ibu bapanya di Taman Melawati malam tadi.
Mengakui berkecil hati dengan tindakan ketara Farid Kamil yang mengkritik kejayaannya dan Mamat Khalid yang dikatakan sanggup memulangkan trofi kemenangannya sebagai tanda protes, Syamsul berkata, tindakan mereka itu benar-benar memeranjatkannya.
"Farid keluarkan kenyataan dapat terima kekalahan di tangan Bront kerana Bront adalah kawan baiknya. Tapi tak dapat terima kekalahan di tangan saya. Habis saya bukan kawan dia ke?.Saya tak salahkan dia tapi kenapa sampai macam tu sekali jadinya.
"Pada abang Mamat, saya masih menghormati dirinya dan kalau jumpa, saya akan minta maaf dan cakap bukan saya yang nak menang tapi dah juri yang nak beri,", ucapnya dengan penuh kesedihan.
Enggan memikirkan lagi sisi gelap yang tercetus seminggu yang lalu, kini nekad anak muda berusia 26 tahun ini dia mahu terus mencipta nama sebagai pengarah yang berkaliber.
"Kalau fikirkan sampai bila pun tak ke mana. Sekarang saya mahu fokus pada kerja dan akan hasilkan tiga atau empat filem setahun,"kata anak kepada produser dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam ini.
Beralih tentang perbualan mengenai cinta, ucap bekas kekasih Diana Danielle ini, dia sama sekali enggan memikirkan mengenai cinta lagi kerana baginya semua itu mampu menjadikannya hidupnya tidak keruan lagi.
"Mak dah siap carikan saya calon tapi abah pula bantah dan suruh saya fokus pada kerja sahaja. Memang betul apabila saya bercinta dan menghadapi masalah nanti fokus kerja saya hilang dan bila bergaduh, pasti saya akan berangin saja di lokasi. Lebih baik macam ini, solo dan tiada masalah," katanya mengakhiri perbualan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment